Anak merupakan anugerah yang tak ternilai daripada yang Maha Esa. Bak pepatah Melayu, anak ibarat kain putih, ibu bapa lah yang mencorakkannya. Bagi pasangan yang baru menimang cahaya mata, segalanya pengalaman yang baru, bermula dari saat anak itu mula dikandung sehingga lah dia dillahirkan dan membesar. Oleh sebab itu, tak mustahil ibu bapa yang baru ini akan mendapat pelbagai nasihat daripada pelbagai pihak, golongan muda dan tua yang sudah ada pengalaman dalam membesarkan anak. Nasihat-nasihat yang diberi akan sentiasa datang sama ada diminta ataupun tidak.
Di sini lah berlakunya dilema ibu bapa baru. Masing-masing ada cara membesarkan anak masing-masing tetapi khuatir jika mereka tidak ikut nasihat golongan terdahulu, ada pihak yang akan berkecil hati. Itu salah satu dilema. Ada dilema lain yang lagi besar yang mampu merosakkan akidah serta mencemarkan nama baik kita sebagai seorang Muslim. Ia merupakan nasihat-nasihat dan kata-kata yang berunsur syirik dan khurafat. Bagaimana amalan-amalan dan kepercayaan ini menjadi begitu terkenal sehingga wujud dalam masyarakat Islam Melayu kini? Saya pun tak tahu jawapannya. Tapi jika dilihat pada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, penduduk Tanah Melayu rata-ratanya beragama Hindu. Mungkin juga amalan-amalan ini datangnya daripada Hindu yang kemudiannya tidak dihapuskan setelah Islam tiba di Tanah Melayu.
Antara amalan dan kepercayaan khurafat yang masih berlegar dalam masyarakat Melayu Islam adalah seperti berikut :-
MENANAM URI DENGAN CARA YANG PELIK
Menganggap uri itu sebagai kembar dan memanggil ia kakak kepada bayi, setelah bayi lahir. Kemudian, apabila bayi itu tiba-tiba tersenyum, maka akan dikatakan, bayi itu senyum kerana ditegur kakaknya. Astaghfirullah. Kemudian, uri itu pula ada cara yang istimewa untuk ditanam sedangkan dalam Islam, tiada cara yang istimewa. Cuma basuh untuk hilangkan hanyirnya, kemudian tanam. Tempat yang ditanam pula tidaklah pula dispesifikasikan di mana-mana. Yang penting tiada binatang buas yang akan mengorek dan memakan uri itu. Ya, memang benar, plasenta merupakan organ yang sangat penting kerana ia yang menjadi saluran yang memberikan makanan kepada bayi semasa di dalam perut, tetapi setelah lahirnya bayi, maka tiada lagi lah gunanya dan tanamlah saja uri itu tanpa ada apa-apa prosidur istimewa. Sesetengah orang pula menanam uri itu bersama-sama pensil dengan harapan anaknya menjadi orang yang pandai. Kadangkala pula uri itu ditanam di belakang atau kawasan surau dengan harapan bayi itu menjadi kaki surau apabila sudah besar. Ada juga yang menanam bersama paku supaya anak tidak buat hal. Semua ini merupakan amalan dan kepercayaan yang karut yang patut dihapuskan. Sesungguhnya tidak sabit daripada ajaran Nabi SAW dan entah siapa yang memulakannya.Tiada dalil yang menyuruh tanam pelik macam tu. Tiada orang alim yang beramal soleh yang buat seperti itu. Malah orang alim yang tak soleh pun tak buat seperti tu. Cuma yang ada, amalan orang terdahulu yang tak ada asas dalam Islam, dituruti orang kemudian kerana kejahilan.
MEMAKAI TANGKAL GELANG BENANG
Memakai gelang benang bagi bayi yang kuat menangis kononnya mampu menghalau gangguan syaitan. Ada yang berkata pula benang itu telah dijampi oleh bomoh ataupun ustaz tertentu menggunakan ayat Quran. Benang itu telahpun menjadi tangkal dan tanpa syak lagi, HARAM untuk dipakai dengan iktikad seperti itu. Sedangkan kita tahu sememangnya normal untuk bayi menangis pada peringkat awal kelahiran. Amalan ini tidak akan mengelakkan pemakainya dari sebarang keburukan, bahkan akan menambah keburukan kepadanya.
Pada zaman Rasulullah, ada seorang lelaki yang memakai ikatan di tangannya umpama tangkal.
Apabila ditanya oleh Rasulullah apakah itu, dia menjawab:
“Aku menjadikannya sebagai pelindung dari penyakit al-Wahinah.”
Lalu Rasulullah bersabda: “Tiadalah ia menambah bagi kamu kecuali kelemahan (yakni bertambah-tambah sakit). Lemparkan ia daripadamu, kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atasmu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (yakni di Hari Akhirat).” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5067 dengan sanad hasan]
Lebih dahsyat, tangkal merupakan satu amalan syirik kerana orang yang memakainya atau memakaikannya kepada orang lain sedikit atau banyak akan mengharapkan kekuasaan dari tangkal tersebut. Padahal harapan tersebut hendaklah difokuskan kepada Allah sahaja. Oleh kerana itulah dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah menegaskan: “Sesiapa yang menggantung tangkal maka sungguh dia telah berbuat syirik.” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5065 dengan sanad hasan]
Mungkin ada yang berhujah, tangkal hanyalah jalan tengah antara pemakai dan Allah. Allah jua yang akan membantu dan melindungi. Hujah ini dipatahkan oleh hadis berikut: “Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya).” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5064 dengan sanad hasan]
Perhatikan dalam hadis-hadis di atas, Rasulullah menyebut tangkal secara umum tanpa membezakan sama ada ia dijampi dengan ayat al-Qur’an atau selainnya, sama ada ia dijampi oleh seorang ustaz, imam atau sesiapa jua. Asalkan ia adalah tangkal dalam apa jua bentuk, maka ia adalah syirik, diabaikan oleh Allah dan menambah keburukan di sebalik apa yang diharapkan.
Sesungguhnya Allah SWT lah pelindung dan kepadaNya lah kita meminta dan berlindung.
Harus diingat bahawa ayat Quran yang digantung di dinding juga boleh menjadi tangkal jika kita percaya bahawa ayat itu yang menjadi pelindung kita dan bukan Allah SWT. Sedangkan pelindungnya ialah apabila kita membaca ayat-ayat itu dan meminta supaya Allah SWT melindungi kita.
Generasi muda yang mempunyai kesedaran dalam hal ini, berada dalam dilema kerana jika bersuara dan membantah, mungkin akan meyakiti dan mengecilkan hati generasi yang lebih tua yang sangat berpegang kepada amalan nenek moyang mereka.
Terdapat banyak lagi contoh yang lain yang jelas terpesong daripada landasan Islam dan saya amat sedih kerana ada Melayu yang mengaku Islam, masih mempercayai semua ini. Sememangnya sukar untuk meyakinkan dan menukar 'mindset' generasi veteran. Maklumlah, seperti jawapan lazim yang akan diberikan:-
"Aku makan garam dulu, kau apa tau?"
"Baru hidup setahun jagung, dah nak mengajar aku."
Walaupun begitu, tetap ada generasi veteran yang sudi mendengar nasihat generasi muda kerana mereka membuang ego mereka untuk mendengar berdasarkan fakta, dan bukan fokus kepada siapa yang berkata.
Sememangnya sukar untuk mengubah 'mindset' generasi lama. Sebagai generasi yang baru, menjadi tanggungjawab kita untuk menghapuskan segala kepercayaan karut ini agar generasi yang akan datang tidak dicemari dengan semua ini dan Islam terus menjadi agung di Malaysia.
No comments:
Post a Comment