Search This Blog

Powered By Blogger

Friday, June 3, 2011

Jangan Mudah Menyangka

Saya tersenyum mengenangkan satu perbualan dengan seorang pakcik suatu ketika dahulu. Cara dia bercerita, seolah-olah semua orang berada di pihaknya. Dia menceritakan tentang politik kepada saya, dan menghentam parti tertentu, dengan penuh yakin menyangka saya menyokong parti yang sama dengannya. Tidak pernahkah terlintas di mindanya bahawa bukan semua orang yang dikenalinya, mempunyai pandangan dan pilihan yang sama? Tetapi sudah tentu dia tidak akan tahu semua itu kerana padanya, sesiapa yang dia kenali, secara lazimnya akan berada di pihaknya. Hehe. Jangan mudah menyangka dan bersangka.

Untuk terbentuknya sesebuah kerajaan, sudah pastilah perlukan undi daripada rakyat. Tanpa rakyat, maka tak wujudlah sesebuah kerajaan.  Katakan, parti yang diundi tidak menang, maka rakyat itu terpaksa akur saja dengan keputusan majoriti. Tetapi tak bermakna rakyat tersebut tidak boleh terus kerja dengan kerajaan yang wujud walaupun menyokong parti lawan. Tidaklah pula haram hasil pendapatannya, asalkan dia melakukan kerja dengan jujur dan tidak kerja di sektor yang haram. 

Ia berlainan pula dengan wakil rakyat. Jawatan mereka, atas nama parti maka pekerjaannya bergantung kepada menang atau kalah partinya itu.

 Jika rakyat tidak mengundi atau menyokong parti memerintah, adakah itu isu yang besar?

Secara lazimnya, rakyat itu akan ditegur,

"Kau ni, selama ni kerajaan mana yang bagi kau makan? Sekarang  ni kau sokong pulak parti yang lain."

"Kalau kau tak suka sangat kerajaan sekarang, kenapa kau taknak berhenti je. Pergilah kerja dengan parti kau tu."

"Tangan kanan menerima, tangan kiri hentam!"



Mengapalah ceteknya fikiran? 

Jika dalam sebuah syarikat, bukan semua orang suka majikan mereka. Adakah kerana tak suka dan tak setuju itu, menyebabkan gaji yang mereka terima itu haram? Jauh sekali, tidak! Gaji itu tetap halal asalkan pekerja itu bekerja dengan jujur, mengikut jawatan yang dipegang. Gaji yang diterima merupakan duit hasil titik peluh mereka, dan itu hak mereka, walaupun tidak menyokong kerajaan yang memerintah.

Kita perlu ingat bahawa bukan sesebuah kerajaan itu yang memberi rezeki tetapi Allah lah yang memberi rezeki. Kerajaan itu hanyalah medium untuk kita dapat rezeki itu. Perlu diingat bahawa kerajaan itu dipilih oleh rakyat dan takkan wujud tanpa rakyat.

Secara rasionalnya, takkan lah kakitangan-kakitangan sesebuah kerajaan negeri itu nak kena berhenti, atas sebab bertukarnya kerajaan yang baru?

Sekiranya kerajaan pusat bertukar tangan, takkanlah semua askar dan polis kena berhenti kerja, atas sebab mereka tak menyokong kerajaan yang baru? Sudah pasti mereka masih perlu setia kepada kerajaan baru, sama ada suka atau tidak.

Undi ialah rahsia dan setiap rakyat ada hak mengundi masing-masing. Masing-masing ada sebab dan alasan masing-masing dalam memilih parti tertentu. Semua sudahpun berumur 21 tahun ke atas, sudah tentu boleh berfikir secara matang dan waras. Kalau tak, sudah tentu had umur mengundi akan ditambah ke 30 tahun ke atas atau 40 tahun ke atas. Had umur 21 tahun ke atas itu sudah pun membuktikan pada umur 21, rakyat sudah layak untuk menentukan dan memilih kerajaan. Jadi, mengapa golongan muda dipersalahkan jika tertumbangnya sebuah kerajaan? Adakah golongan muda ini tidak tahu berfikir dan membuat keputusan? Adakah fikiran mereka itu tidak cukup matang untuk diterima?

Jika dilihat, golongan muda lah yang memasuki universiti dan lebih terpelajar dan boleh dikatakan mempunyai minda yang lebih tajam. Belajar pula, bukan tempat yang calang-calang, tetapi di universiti. Jadi,tindakan mereka sudah tentu bukan lah tindakan yang BODOH! Cuma mereka kurang dari segi pengalaman hidup, memang benar. Di situlah perlunya golongan terdahulu untuk membimbing, tetapi jangan pula terkejut dan tidak berpuas hati, jika pada kesudahannya, golongan muda ini tidak pula sekepala dengan mereka. Ia perlu diterima. Pada zaman yang serba canggih ini, pemikiran golongan muda sudah menjangkau jauh ke depan.

Mereka lah golongan ilmuwan dan cendekiawan yang patut kita hormati yang akan mencorakkan masa depan negara. Jika mereka bodoh dan tidak tahu  membuat keputusan, sudah tentu mereka tak masuk universiti tetapi melepak saja, tak buat apa-apa.

Dalam satu persoalan lain pula, mengapa di kebanyakan bandar, sokongan rakyat agak berlainan daripada sokongan rakyat di kampung dan kawasan terpencil?

Adakah itu menunjukkan rakyat di bandar kurang bijak daripada rakyat di kampung?
Secara logiknya, sudah tentulah rakyat di bandar mendapat peluang belajar yang lagi tinggi, ilmu yang lebih banyak, peluang bekerja yang lagi banyak, sumber berita yang lagi banyak dan asli, kemudahan yang lebih banyak, serta rakyat di bandar  berfikiran jauh ke depan. Dari segi kemajuan pula, kawasan bandar lebih maju daripada kawasan kampung. Jadi, adakah golongan ini tidak tahu memilih yang mana baik, yang mana buruk? Untuk membuat sesuatu keputusan, jika kita mempunyai lebih banyak sumber, lebih mudah untuk membuat keputusan yang terbaik, berbanding sumber yang sedikit. Saya percaya, rakyat di bandar mempunyai sumber yang lebih banyak daripada rakyat di kampung.

Walaubagaimanapun, perbezaan fahaman politik ini bukanlah menjadi penyebab pecah-belahnya sesebuah keluarga dan bukan pula penyebab untuk kita bermusuhan sesama Islam.  Hormati lah pandangan masing-masing dan biarlah politik di Malaysia ini menjadi politik yang sihat dan adil. Hakikatnya, kita semua manusia yang tak sempurna dan walau apa pun, mestilah bersatu sebagai rakyat Malaysia untuk membangunkan negara. 

'May the best man wins.'

No comments: