Search This Blog

Powered By Blogger

Sunday, June 12, 2011

Titik Perubahan

"Capt, Wahabi tu apa? Yang saya tau, wahabi tu mazhab yang ikut Makkah kan?" tanya saya.

"Nak tau, kena la beli 'Majalah i' dan baca apa saya tulis," jawab Capt Hafiz.

Begitulah lebih kurang, perbualan saya dengan Capt Hafiz Firdaus semasa kali pertama terbang bersama, suatu ketika dahulu, membawa pesawat Airbus 330. Penerbangan ke Manila itu sangat bermakna bagi saya. Ia mengubah diri saya supaya lebih mendalami ilmu Islam yang sangat luas ini.

Seingat saya, semasa di Matrikulasi rasanya, saya pernah terbaca Majalah i, yang kulit depannya gambar seorang juruterbang, dan dalamnya berkisarkan tentang penulisan-penulisan juruterbang itu. Saya ingat yang nama juruterbang itu ialah Hafiz, dan itulah Capt Hafiz yang saya kenal sekarang. Semasa membaca keluaran Majalah i, pada ketika itu, terdetik di hati saya,

"Ada jugak pilot yang baik ni. Kira banyak jugak lah free time bila jadi pilot ni. Siap boleh buat buku."

Ini kerana secara lazimnya, juruterbang akan dikaitkan dengan gelaran kaki perempuan, kaki minum dan kaki 'enjoy'.  Ternyata persepsi saya salah. Walaupun dicop sebegitu, ia hanyalah andaian orang luar dan jika wujud pun golongan seperti itu, tidaklah sebanyak dan sekerap yang disangka.

Selepas penerbangan itu, saya mula mencari-cari ilmu tentang Islam, menerusi blog, majalah, buku, dan apa-apa saja sumber termasuk mendengar ceramah di Youtube. Saya turut bertanyakan mereka yang berilmu dalam hal ini.

Selama ini, saya hanya melakukan ibadah dalam Islam berdasarkan mulut orang dan tidak mengkaji dengan lebih mendalam tentang apa yang diberitahu, sebaliknya mengambil bulat-bulat tanpa memeriksa sama ada benar atau salah perkara yang diajar dan diberitahu.

Capt Hafiz telah membuka mata saya dan membuat saya sedar bahawa kita seringkali melakukan ibadah berdasarkan kebiasaan masyarakat dan bukan berdasarkan tunjuk ajar Rasulullah SAW. Ia sangat menginsafkan saya.

Di Malaysia sendiri, sudah banyak pencemaran dalam agama Islam yang dibuat yang berbentuk amalan dan adat. Mengapa saya kata ia pencemaran? Hal ini kerana banyak amalan yang dibuat itu disandarkan kepada Rasulullah SAW dan disandarkan kepada Islam tetapi berdasarkan:-

-hadith yang palsu atau tersangat lemah
-amalan yang direka oleh ahli agamawan, kononnya untuk mendekatkan diri kepada yang Esa, tetapi tidak datang daripada Nabi SAW.
-kepercayaan-kepercayaan khurafat yang dipegang dan disandarkan kepada Islam.

Kebanyakannya tidak berani dibantah, kerana sudahpun menjadi kebiasaan masyarakat. Inilah yang berlaku apabila Kebiasaan Masyarakat mengatasi Sunnah.

Pada pendapat saya, niat murni Capt Hafiz janganlah disalah sangka dan dicaci serta ditohmah. Beliau menghabiskan masa, tenaga dan wang untuk menegakkan dan menyebarkan Islam. Lihat saja berapa banyak buku yang telah beliau tulis dan karang.

Di sebalik perjuangan untuk menegakkan Islam, sudah pasti akan terdapat musuh, termasuk musuh di kalangan orang Islam sendiri.
Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada beliau. Di kalangan juruterbang juga, ada juga pihak yang kurang senang dengan beliau.

Saya akui, bukan semua pandangannya, saya terima. Ada juga pandangannya yang saya susah nak terima, di mana penjelasannya kurang jelas dan meragukan. Dalam keadaan begitu, saya akan mengikut pandangan ilmuwan lain yang lebih jelas serta lari daripada khilaf dan ragu-ragu. Namun begitu, ia tak bermakna saya membenci atau mengutuk beliau secara peribadi.

Saya percaya masa lapangnya sentiasa dihabiskan dengan mengkaji, menelaah serta memahami kitab-kitab dan buku-buku. Tetapi sayangnya, beliau sering menjadi bahan kutukan oleh golongan tertentu, yang berfikiran sempit. Bercakap soal kesanggupan, rasa-rasanya, adakah mereka sanggup melakukan pengorbanan sepertimana beliau lakukan untuk Islam? Jangan hanya pandai kutuk belakang tetapi diri sendiri malas untuk belajar. Sekurang-kurangnya, sudah terbukti sumbangan yang beliau berikan kepada dunia Islam.

Beliau tak maksum. Oleh sebab itu, beliau tak lari daripada melakukan kesilapan. Walaubagaimanapun, usaha gigih beliau haruslah dipuji dan disokong sepenuhnya kerana tak ramai di kalangan kita daripada golongan professional ini yang rajin seperti beliau. Haruslah juga diingat bahawa pandangan-pandangan beliau itu merupakan pandangan ulama’-ulama’ terdahulu yang beliau telah kumpulkan dan disusun secara kemas, untuk mudah difahami oleh golongan masa kini. InshaAllah, dengan usaha gigih beliau ini, Islam yang tulen dapat disebarkan dan diamalkan. Semoga misi untuk menjadikan Islam itu agama ilmu menjadi kenyataan.

No comments: