Search This Blog

Powered By Blogger

Wednesday, October 19, 2011

Merokok, Hukumnya Khilaf Ke?


Saya masih ingat lagi semasa berada di bangku sekolah. Saya berjaya untuk tidak terpengaruh dengan rakan-rakan yang merokok kerana saya berpegang kepada keharaman rokok itu sama seperti haramnya arak. Pada waktu itu, dengan kejahilan tentang Islam pada diri ini, betapa mudahnya saya mengambil dan menerima hukum tanpa mengetahui apa sebab di sebaliknya. Saya membuat teori sendiri untuk menyamakan rokok dan arak sedangkan ia tak sama.

Namun begitu, ada juga kebaikan di sebalik itu. Disebabkan kejahilan itu, maka saya tidak merokok hinggalah ke saat ini, alhamdulillah. Kejahilan itu juga menyebabkan saya tercari-cari dan menambahkan semangat untuk mengenali Islam yang tulen, berlandaskan dalil.

Arak diharamkan oleh Quran secara jelas, sedangkan rokok tidak. Jadi, bagaimana mungkin ia sama. Namun begitu, haramnya merokok itu disebabkan kaedah yang dipanggil 'kias'. Kias digunakan untuk menentukan hukum bagi perkara-perkara yang belum lagi wujud pada zaman Rasulullah. Membuat saya teringat kembali tentang tersebarnya hadith palsu tentang Rasulullah mengharamkan rokok. Sememangnya budaya merokok ini mesti ditentang tetapi tidaklah sehingga berdusta ke atas Rasulullah. Betapa kuatnya semangat pembuat hadith palsu itu sehingga sanggup berbohong supaya orang berhenti merokok. Niatnya baik namun caranya salah. Rokok tidak wujud lagi semasa zaman Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam. Jadi, bagaimana hukum haramnya rokok ini boleh terjadi? Mari kita bincangkan.

Kebanyakan ulama telah menfatwakan bahawa merokok itu haram. Antara ulama-ulama itu merupakan Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaat dan Syeikh Atiyyar Saqar. 

Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain, yang terkandung di dalamnya. 
(Abu Ubaidah al-Mashur, At-ta'liqat al-hisan dzayl tahqiq al-Burhan, hlm 28 ; Dr Abd Sabur as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun,hlm 34-35)
[Rujukan:    http://www.zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/259-hukum-merokok.html]


Menurut Dr. Abdul Basit di dalam blognya,

"Hasil perkembangan dunia yang canggih, ahli-ahli sains menemui satu demi satu kesan negatif rokok kepada kesihatan manusia secara ilmiah. Jika buku “Ensiklopedia Dunia”, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, jilid 18 halaman 347 boleh diterima sebagai antara dokumentasi berautoriti, maka kita tiada pilihan lain kecuali menerima bahawa kemudaratan rokok secara saintifik mula ditemui oleh ahli sains pada pertengahan abad ke 19.

Catatan buku ini menyebut; 

“Mesin pembuat rokok yang pertama dicipta 1880-an sebelum itu semua rokok digulung dengan tangan. Pada tahun 1960-an ahli sains melaporkan bahawa bahan yang dikenali sebagai tar dan nikotina yang disedut semasa merokok boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan lain-lain. Sejak ini banyak negara meluluskan undang-undang yang menuntut pembuat rokok melabelkan kotak dan karton rokok dengan amaran kesihatan. Iklan rokok di radio dan televisyen juga diharamkan.”
(http://www.abuanasmadani.com/?p=729)



Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Al-Baqarah ayat 195,



وَأَنفِقوا فى سَبيلِ اللَّهِ وَلا تُلقوا بِأَيديكُم إِلَى التَّهلُكَةِ ۛ وَأَحسِنوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُحسِنينَ

maksudnya: 

Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.


Jikalau para perokok mahu berikan alasan bahawa Quran tak mengharamkannya, alasan itu tidak boleh dipakai sama sekali. Jika itu alasan mereka, bagaimana pula dengan dadah. Tidak terdapat dalam Quran tentang keharaman dadah tetapi secara pasti, ia haram. Dadah yang saya maksudkan merupakan dadah seperti ganja, heroin, shabu dan seangkatan dengannya. Ia merosakkan akal dan memabukkan. Kesannya sama seperti arak, di mana ia menghilangkan kewarasan seseorang. Kesan-kesan ini sudah cukup untuk mengharamkannya walaupun tidak tertulis dalam Quran.  Ini kerana ciri-cirinya merosakkan. 


Ada di kalangan ulama yang berpendapat bahawa hukum merokok itu harus. Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah halal dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka adalah lemah kerana ia bersandarkan pandangan mereka tanpa maklumat berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu. Hasilnya mereka memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan menggangu, justeru, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram. Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil kira maklumat baru perubatan. Pada zaman sekarang yang serba canggih ini, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa. Sebarang fatwa ulama yang tidak dibuat berlandaskan maklumat lengkap dari para doctor perubatan atau pakar kimia adalah kurang tepat dan tidak sepatutnya dijadikan pegangan.
(Rujukan: http://www.zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/259-hukum-merokok.html)



Terdapat hadith daripada Rasulullah tentang larangan pergi solat berjemaah selepas makan bawang, iaitu, maksudnya:

"Sesiapa yang memakan dari pokok ini , berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia” 
(Riwayat Al-Bukhari, KItab al-Azan, no 807 ; Muslim, Kitab Masajid wa Mawadi' as-Solat, no 876)
[Dinukil daripada http://www.zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/259-hukum-merokok.html]

Cuba anda fikirkan. Sedangkan bau bawang pun Nabi larang, inikan pula rokok yang lagi busuk. Tanpa disedari, ramai perokok telahpun meyakiti orang lain. Para perokok mungkin tak perasan semua tu tetapi itulah hakikatnya. Mereka bukan saja menyakiti hati orang lain yang tak sukakan bau asap rokok dan bau mulut perokok, mereka juga membahayakan nyawa orang lain yang menjadi perokok pasif. Adakah perokok ini sedar bahawa mereka telahpun bertanggungjawab di atas pesakit-pesakit perokok pasif ini? Adakah mereka sedar bahawa disebabkan mereka lah, ramai yang sengsara dan menjadi pesakit disebabkan menjadi perokok pasif. Tidakkah mereka berasa bersalah menjadi penyebab kepada semua ini? Wahai para suami, isteri, ibu, bapa, abang, kakak dan adik. Tidakkah anda rasa bersalah terhadap pasangan anda, anak-anak anda, adik-adik dan abang kakak anda? Anda biarkan mereka menghidu asap hasil hisapan rokok anda. 


Para ibu dan bapa yang merokok depan anak-anak, langsung tidak memikirkan masa depan anak-anak baik dari segi kesihatan anak-anak dan juga perangai anak-anak. Lepas tu, jika anak-anak nak ikut perangai bapanya, dan mula merokok pada usia sebelum 18 tahun lagi, akan dimarahi oleh ibu bapanya, sedangkan bapanya tak sedar bahawa dia lah yang mempengaruhi anak-anaknya menjadi perokok sepertinya. Salahkan diri sendiri, jangan salahkan anak. Mengapa nak melenting sedangkan kita lah sebenarnya punca anak-anak menjadi perokok. Si bapa akan berkata,

Aku merokok ni pakai duit aku keje. Kau tu tak keje lagi. Aku yang bagi duit. Takyah lah nak bazir dan bakar duit aku bagi kau tu.”

Jelas di sini, si bapa sendiri mengaku bahawa merokok itu membazir dan membakar duit. Tetapi perangai itulah yang si bapa lakukan dan ditunjukkan kepada anak-anak. Kesannya, anak-anak akan turut menjadi pembazir pada masa akan datang. Alasan yang diberi langsung tak kukuh. Apa 'point' nya sebenarnya? Adakah kita dibolehkan untuk membazir ketika sudah kerja dan tidak boleh membazir semasa sekolah? Alasan yang tak munasabah.


Perokok akan membela diri. Antara alasan mereka,

“Pakai kereta tu pun mencemarkan udara dan orang keliling bau juga." 

“Asap rokok ni sikit je kalau nak bandingkan asap kereta dan kilang-kilang."

“Pasang 'air-cond' pun mencemarkan gak alam sekitar."

“Tu kilang-kilang tu duk keluarkan asap tu.


Pelbagai alasan lain yang akan mereka berikan untuk 'justify' bahawa tiada salahnya mereka merokok. Namun, senarai yang mereka berikan di atas, walaupun terdapat juga keburukan, namun kebaikannya dan manfaatnya jauh lebih banyak, sedangkan dalam rokok, terdapat lebih keburukan daripada kebaikan. Kajian perubatan menunjukkan terlalu banyak kesan negatif bagi perokok. Tidakkah itu dalil yang cukup kuat untuk menjadikan ia haram? 

Merokok juga boleh dikategorikan sebagai membunuh diri, dan membunuh diri ini dilarang dalam Islam. Adakah kita mahu masuk di kalangan orang yang membunuh diri? 

Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda,

"Sesiapa yang menghirup racun dan ia membunuh dirinya, maka racunnya di tangannya, yang dia akan menghirupnya di dalam neraka Jahannam, kekal berkekalan di dalamnya selama-lamanya
(Al-Bukhari no.5778)

Ia turut disokong lagi dengan dalil daripada Quran, 

surah an-Nisa ayat 29,

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا لا تَأكُلوا أَموٰلَكُم بَينَكُم بِالبٰطِلِ إِلّا أَن تَكونَ تِجٰرَةً عَن تَراضٍ مِنكُم ۚ وَلا تَقتُلوا أَنفُسَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ كانَ بِكُم رَحيمًا

maksudnya:



Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.





Para perokok akan membela diri lagi dengan berkata,

"Benda ni khilaf, kita boleh pilih salah satu. Jadi aku pilih hukum dia makruh.

Tidak kurang juga ada para ustaz, pak imam, pak lebai dan orang-orang agama yang turut merokok dengan menggunakan hukum bahawa ia tidak haram dan hanya makruh. Pelik ye. Sebagai seorang ustaz, sebaiknya menjadi contoh kepada yang lain, dan perkara makruh juga mereka akan hindari(jika mereka berpegang pada hukumnya makruh). Pada pendapat saya, mereka yang memilih hukumnya makruh, hanyalah untuk 'justify' diri mereka bahawa ia tidak haram dan tidak berdosa. Sudah pasti golongan ustaz yang menyokong ia makruh juga merupakan perokok. Itu sebab mereka tidak menyokong ia haram.

Selain itu, lihat saja, betapa banyaknya tempat zon larangan merokok, menunjukkan bahawa betapa banyaknya premis yang mengharamkan rokok ini. Larangan-larangan zon merokok ini dipraktikkan di seluruh dunia. Bayangkan, bukan saja Islam mengharamkan rokok, dunia juga mengharamkan rokok. Lihat saja betapa jijiknya rokok itu. 


Menurut Ustaz Zaharuddin, dalam blognya,

"Justeru, pada hemat dan kajian saya, hukum yang lebih tepat adalah Haram merokok kerana mudarat yang pelbagai dari sudut kesihatan tubuh sendiri, orang lain, dan baunya yang mengganggu orang lain. Malah kaedah Islam menyebut : "Ad-Darar Yudfa' Bi Qadaril Imkan" ; ertinya : 

"Kemudaratan hendaklah ditolak sedaya upaya dan kemampuan” 
(Al-Madkhal Al-Fiqhil ‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/992)”


Katanya lagi,

"Cuma Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667) menjelaskan hukumnya berkata ( dengan pindaan ) :-

a- Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur setakat yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan tabiatnya kepada orang lain.

b- Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina, mencuri dan lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi Shariah, ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil. Dosa hasil rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil. Bagaimanapun perlu diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi yang belum merokok, dan makruh bagi seisap yang telah terjebak sehingga sukar untuk keluar darinya. Apa yang pasti, segala jenis usaha bagi memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari segera. Wallahu a'lam.”


Dr. Zakir Naik juga pernah ditanya tentang hal ini dan beliau menjawab, maksudnya dalam bahasa Melayu:

Terdapat lebih daripada 400 fatwa yang menyatakan bahawa merokok itu HARAM.”

Beliau turut menjelaskan tentang kajian-kajian yang dilakukan terhadap rokok dan kesan-kesannya.

Untuk lebih lanjut tentang jawapan beliau, silalah klik pada 

http://www.youtube.com/watch?v=ppP7EMfxiFo&feature=fvwrel




Saya faham, perokok mungkin sudah ketagihan dan susah nak berhenti. Perasaan itu tak mungkin saya rasai kerana saya bukan perokok. Tetapi bukankah ia sesuatu yang boleh dilakukan? Buktinya, ramai di luar sana yang berjaya berhenti daripada tabiat yang buruk ini. Jika mereka boleh, takkan anda tak boleh. 

Ketagihan itu disebabkan oleh nikotin. Jadi belilah 'nicotine patch' atau pun yang seangkatan dengannya seperti 'chewing gum' nikotin. Keazaman yang tinggi juga perlu untuk berhenti merokok. Berusahalah sedaya upaya untuk berhenti dan jangan hanya sekadar berkata di mulut,

"Aku nak berhenti.”

Namun, rokok itu terus dibeli seperti biasa, tanpa bersungguh-sungguh mahu berhenti. 

Adakah patut seorang muslim itu imejnya menghisap rokok? 



No comments: