Search This Blog

Powered By Blogger

Tuesday, December 13, 2011

Solat Sunat Selepas Akad Nikah

Sebelum majlis akad nikah saya dulu, saya pernah diberitahu, seeloknya solat
sunat dahulu selepas akad nikah. Kemudian, baru bertemu dan bersalam dengan isteri. Selepas akad nikah juga, salah seorang pakcik saya bertanya,


"Tak solat sunat dulu ke?


Saya pun menjawab, "Tak.”


Kemudian saya terus pergi berjumpa isteri saya. Bersalam, dan bergambar bersama. 


Berkenaan solat sunat selepas akad nikah itu, seolah-olah sudah menjadi adat untuk pengantin lelaki solat sunat selepas akad nikah. Jika tak solat sunat selepas nikah, nampak macam pelik. Disebabkan itu merupakan ibadah, maka kita tidak boleh mengikut kebiasaan adat, sebaliknya melihat sama ada solat selepas akad nikah itu mempunyai dalil ataupun tidak. 




Syaikh al-Albani Rahimahullaah berkata: 


Hal itu telah ada sandarannya dari ulama Salaf (Sahabat dan Tabi’in)."




a. Hadis daripada Abu Sa’id maula (hamba yang telah dimerdekakan) Abu Usaid. 

Dia berkata,

Aku menikah ketika aku masih seorang budak. Ketika itu aku mengundang beberapa orang Sahabat Nabi, di antaranya ‘Abdullah bin Mas’ud, Abu Dzarr dan Hudzaifah Radhiallaahu ‘anhum. Lalu tibalah waktu solat, Abu Dzarr bergegas untuk mengimami solat. 

Tetapi mereka berkata, "Kamulah (Abu Sa’id) yang berhak!”

Dia (Abu Dzarr) berkata,  "Apakah benar demikian?” 

“Benar!”, jawab mereka. 

Aku pun maju mengimami mereka solat. Ketika itu aku masih seorang budak. Selanjutnya mereka mengajariku, 

"Jika isterimu nanti datang menemuimu, hendaklah kalian berdua solat dua rakaat. Lalu mintalah kepada Allah kebaikan isterimu itu dan mintalah perlindungan kepada-Nya dari keburukannya. Selanjutnya terserah kamu berdua...!"

(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf (X/159, no. 30230 dan ‘Abdurrazzaq dalam al-Mushannaf (VI/191-192). Lihat Adabuz Zifaf fis Sunnah al-Muthahharah (hal. 94-97), cet. Darus Salam, th. 1423 H.)




b. Hadis daripada Abu Waail.

Dia berkata, 

Seseorang datang kepada ‘Abdullah bin Mas’ud Radhiallaahu ‘anhu, lalu ia berkata, 

"Aku menikah dengan seorang gadis, aku khawatir dia membenciku.”

Abdullah bin Mas’ud berkata, 

"Sesungguhnya cinta berasal dari Allah, sedangkan kebencian berasal dari syaitan, untuk membenci apa-apa yang dihalalkan Allah. Jika isterimu datang kepadamu, maka perintahkanlah untuk melaksanakan solat dua rakaat di belakangmu. Lalu ucapkanlah (berdoalah):

“Ya Allah, berikanlah keberkatan kepadaku dan isteriku, serta berkahilah mereka dengan sebab aku. Ya Allah, berikanlah rizki kepadaku lantaran mereka, dan berikanlah rizki kepada mereka lantaran aku. Ya Allah, satukanlah antara kami (berdua) dalam kebaikan dan pisahkanlah antara kami (berdua) dalam kebaikan.”"

(Diriwayatkan oleh ‘Abdurrazzaq dalam al-Mushannaf (VI/191, no. 10460, 10461.)



Huraian hadis di atas sebenarnya bermaksud solat sunat berjemaah dengan isteri sebelum ‘bersama' pada malam pertama dan bukanlah solat sunat di depan orang ramai sebaik selepas akad nikah. Do'a dan solat tu sebaiknya dilakukan 'in private’, dalam bilik pengantin kerana ia merupakan adab-adab pengantin pada malam pertama. Itulah cara Islam sebelum menikmati malam pertama suami isteri. Muqaddimahnya solat dan do’a. 


Solat sunat yang biasa dilakukan oleh masyarakat kita, sebaik saja selepas akad nikah, pada asalnya tidak salah, tetapi kita telah meletakkan solat sunat itu bukan di tempatnya. Jika kita menganggap dan meniatkan bahawa itu ‘Solat Sunat Akad Nikah’, kita telahpun mengkhususkan solat sunat itu dan kita telahpun mencipta satu solat sunat yang baru dan tidak ada asalnya daripada Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wassalam. Apabila kita menetapkan/menyeru/menyuruh solat sunat itu dilakukan sebaik saja selepas akad nikah dan di depan orang ramai, kita telah pun menetapkan sesuatu yang tidak pernah ditetapkan oleh Nabi Muhammad serta tidak pula menjadi amalan golongan Salaf. Sedangkan kita tahu bahawa generasi mereka lah sebaik-baik generasi untuk kita ikuti. Namun, solat sunat berjemaah bersama-sama isteri sebelum ‘bersama' itu, ada dalil dan Sunnah untuk kita lakukan dan ikuti seperti dua hadis di atas.


Apa yang dipandang baik oleh masyarakat tak semestinya dipandang baik oleh Allah dan RasulNya. Oleh sebab itu, jika pada awalnya kita berkata, sebaik-baiknya solat sunat dulu selepas akad nikah, apakah dalilnya daripada Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wassalam, kerana Baginda saja yang ada hak untuk mengatakan kelebihan atau kebaikan solat sunat selepas akad nikah(sekiranya ada). Sedangkan dalam ibadah, mestilah mempunyai dalil bahawa ia datang daripada Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wassalam. 


Bukanlah saya tak menyokong untuk kita solat sunat, tetapi biarlah solat sunat yang kita lakukan itu datangnya daripada tunjuk ajar Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wassalam dan bukan rekaan sesedap hati dan mengikut hawa nafsu kita.





No comments: