Search This Blog

Powered By Blogger

Sunday, December 18, 2011

Bernikah Di Masjid Dan Akad Nikah

Berkenaan melakukan akad nikah di masjid, di sini, terdapat satu salah faham. Ramai yang menyangka, atas sebab namanya masjid, maka lebih afdhal bernikah di dalamnya. Ditegaskan, 'lebih afdhal' ni siapa yang ‘endorse'? Hanya Nabi saja yang boleh berikan status lebih afdhal ni, bukan kita. Setelah dikaji oleh para ahlul hadis, ternyata tiada riwayat yang sahih yang menceritakan tentang kelebihan bernikah di masjid. Jadi, bagaimana kita boleh mengatakan ia lebih afdhal?


Menurut Ustaz Fathul Bari Mat Jaya dalam salah satu ceramahnya, beliau menerangkan tentang hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi yang berbunyi,


Maksudnya:


Iklankanlah nikah kalian. Buatlah nikah itu di masjid dan pukullah tuf.


Kata beliau, hadis ini terdapat dalam Sunan Tarmizi dan juga Al-Baihaqi. Hadis ini dibahaskan dan para ahli ilmu telah menyatakan statusnya. Dalam riwayat at-Tarmizi, terdapat seorang perawi yang bernama Isa Ibn Maimun yang merupakan seorang perawi yang dho’if. Dalam riwayat Al-Baihaqi pula, terdapat perawi yang bernama Khalid Ibn Ilyas yang juga merupakan perawi yang sangat lemah. Kesimpulan yang beliau buat, yang sahihnya, hanya yang awal, iaitu,


Iklankanlah nikah kalian.”  


Namun begitu, tambahnya, jumhur fuqaha menyatakan keHARUSan bernikah di masjid. Katanya lagi, dalam kebanyakan riwayat yang ada tentang perkahwinan, Nabi dan para Sahabat bernikah di rumah.


Itu antara serba sedikit isi kandungan ceramah beliau tentang akad nikah di masjid ini.






Maka, tiada bezanya sama ada buat di masjid, dewan ataupun rumah. Apa yang penting, cukup rukun dan syarat akad nikah seperti yang dipelajari semasa sekolah dan juga semasa kursus perkahwinan. Malah dalam keadaan sekarang, dengan wujudnya pelbagai adat istiadat yang kurang Islamik dalam upacara akad nikah itu, maka lebih baik kita buat di rumah saja bagi menjaga kesucian masjid. Para hadirin yang datang pula ada yang tak menutup aurat. Hal-hal seperti ini mencemarkan masjid.


Jadi, dalam keadaan ini, demi menjaga kesucian masjid, pilihan yang terbaik adalah untuk buat di rumah. Ia juga akan membuka ruang untuk semua kenalan dan sanak-saudara hadir. Jika dibuat di masjid, perempuan yang haid tidak dapat hadir, dan ini menyusahkan lebih-lebih lagi jika perempuan itu ibu pengantin sendiri ataupun adik-beradik pengantin. Sebagai ahli keluarga rapat, sudah pasti mereka mahu turut serta dalam upacara bersejarah itu. Kenalan perempuan yang bukan Islam juga tidak dapat hadir kerana mereka tidak menutup aurat. Agak seperti memaksa pula, jika kita jemput mereka ke majlis kita, dan menyuruh pula mereka datang dengan memakai tudung. Sedangkan kewajipan menutup aurat hanyalah dalam agama Islam untuk umat Islam.


Namun begitu, keharusan buat di masjid tidak boleh disangkal. Pemilihan masjid sebagai lokasi boleh menjadi pilihan tetapi adab-adab memasuki masjid mestilah dipatuhi. Ada kemungkinan seseorang itu memilih masjid menjadi lokasi atas sebab lebih mudah dari segi kemudahan yang ada di masjid serta lokasinya yang strategik untuk para tetamu yang datang. Mungkin juga kerana rumah agak kecil dan dewan pula sudah penuh serta harga sewa yang mahal. Namun begitu, tiada apa-apa kelebihan daripada segi kesunnahan, untuk bernikah di masjid seperti ganjaran pahala yang lebih atas sebab nama masjid itu.


Jika bernikah di masjid itu lebih baik dan afdhal, sudah pasti ia menjadi amalan Nabi dan para sahabat tetapi banyak riwayat menceritakan bahawa mereka bernikah di rumah.


Selain itu, ada sedikit perihal nikah yang ingin saya ketengahkan......


Pertama : Tidak perlu bersalam semasa akad nikah. Bersalam itu bukan syarat sah untuk akad nikah. Tiada masalah jika wali dan bakal pengantin mengadap masing-masing, si wali melafazkan akad nikah dan bakal pengantin menjawab tanpa bersalam.




Kedua : Mahar atau mas kahwin tak perlu disebutkan tetapi wajib diberi.




Ketiga : Akad bermaksud persetujuan kedua-dua belah pihak. Maka selepas wali menyebut nama si wanita yang akan bernikah dengan lelaki itu, lelaki itu cukup sekadar dengar dan faham, kemudian menjawab,


“Saya terima.”


Tidak perlu untuk mengulang sebijik-sebijik nama wanita itu dan jumlah maharnya. Ini lah yang dipermudahkan di Terengganu dan Kelantan. Semasa saya bernikah dulu, saya hanya menjawab,


“Aku terimalah nikahnya seperti yang disebutkan.”


Walaupun boleh diringkaskan lagi tetapi atas sebab menghormati jurunikah/wali hakim dan juga majlis, saya ikutkan saje.




Keempat : Tidak ada istilah satu nafas di mana pengantin lelaki tidak boleh menarik nafas semasa melafazkan penerimaan akad nikah itu.




Kelima : Pengantin lelaki tidak perlu terus sambung sebaik saja selepas wali melafazkan akad nikah. Biarlah pengantin lelaki faham isi kandungan sejenak dan menjawab selepas itu. Sangatlah bahaya jika lelaki terus menjawab tanpa memahami teks akad itu. Kemungkinan apa yang dilafazkan oleh wali itu salah dan pengantin lelaki pula mengiyakan dan menerima kesalahan itu.


Mungkin ada yang keliru dengan maksud tidak ada putus semasa akad nikah. Maksud tidak terputus itu contohnya begini,


Contoh : Sebaik saja wali melafazkan akad nikah, pengantin lelaki pergi pekena teh tarik dulu, baca buku dan membuat kerja lain, kemudian, tiba-tiba menjawab,


“Aku terima.”


Itulah yang dimaksudkan dengan terputusnya itu. Sekadar bersin, batuk, berfikir sejenak ataupun menarik nafas, tiada masalah.




Keenam : Kemudian, ditambah lagi dengan para saksi yang mengatakan sah ataupun tidak. Siapa pula yang bagi lesen untuk saksi menentukan sah atau tidak. Mereka hanyalah saksi dan tak berhak menentukan sah atau tidak. Jika apa yang dijawab oleh pengantin itu jelas, mengapa hendak dipersoalkan? Terdapat juga saksi yang mahu membuli pengantin dan dengan sengaja menyuruh pengantin mengulangi lafaznya berulangkali. Sesungguhnya itu adalah satu jenayah terhadap hukum-hakam dalam agama Islam. Mereka ini mempermainkan agama untuk keseronokan diri sendiri. Maka jawablah nanti di akhirat kelak.




Ketujuh : Mengapa perlu wali demo dan praktis dulu akad dengan pengantin lelaki, kemudian baru buat betul-betul akad nikah tu? Apa ni? Adakah urusan agama seperti itu? Tidak pernah pula saya perasan semasa membayar zakat fitrah, ada demo-demo pulak masa akad tu. Adakah semasa nak mulakan solat, kita demo dulu takbir “Allahuakbar”, kemudian baru takbir betul-betul? Kan merepek tu.






Urusan perkahwinan dipermudahkan dalam Islam. Adat Melayu yang menyusah-nyusahkannya. Kesudahannya, ramai yang susah dan tak mampu berkahwin. Bukan kerana tak mampu sebenarnya, tetapi adat yang telah menjadikan perkahwinan itu menjadi sukar dan memerlukan kos yang tinggi. Akibatnya, ramai yang lambat berkahwin atau tak berkahwin langsung dan kemudiannya bergelut dengan maksiat.


Saya sangat menyokong mereka yang berkahwin awal. Banyak kelebihannya. Disebabkan halalnya pasangan kita itu, inshaAllah akan mendorong kita untuk melakukan kebaikan-kebaikan yang lain.


Kepada yang bakal berkahwin, selamat pengantin baru dan jadilah suami dan isteri yang soleh dan solehah.

No comments: