Search This Blog

Powered By Blogger

Wednesday, June 13, 2012

Dosa Isteri Tidak Ditanggung Suami


Disusun Oleh: Khairus Ambia Putra (KAP)
Disemak Oleh : Hafiz Firdaus Abdullah





Sekian lama saya tidak berblogging. Kali ini saya ingin menyentuh tentang topik di atas. Ia lebih ditujukan kepada mereka yang menganggap bahawa apabila seorang lelaki itu menerima nikah selepas akad nikah, maka segala dosa isteri itu ditanggung oleh suami. Ia juga ditujukan kepada mereka yang menganggap, seorang ayah menanggung dosa anak perempuan mereka selagi anak perempuan mereka belum berkahwin.
Dari mana datangnya sumber ini, saya kurang pasti tapi itulah perkara yang mashyur diketahui umum dan disebut-sebut oleh masyarakat kita.  

Membuatkan saya teringat satu post di facebook berkenaan lafaz akad nikah di mana ia menerangkan lafaz tersurat dan makna tersirat di sebalik penerimaan nikah itu. Post itu ingin menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab suami sesudah berkahwin sehingga segala dosa isteri ditanggung oleh suami. Tetapi sayangnya, kenyataan itu kurang tepat.

Dalam post yang lain, terdapat juga post yang mengatakan bahawa jika anak perempuan keluar rumah dengan mendedah aurat, maka mendekatkan ayahnya ke neraka. Satu lagi kenyataan yang dibuat tanpa berdasarkan dalil dan hujah daripada Quran dan Sunnah.

Pada hari ini, mari kita kaji dan semak semula secara ilmiah, sejauh mana benarnya kenyataan-kenyataan di atas.

Allah telah berfirman dalam surah al-Najm ayat 38-42 yang bermaksud,

"Sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna; sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu-lah kesudahan (segala perkara)."

Secara jelas ia menunjukkan bahawa dosa seseorang itu ditanggung oleh individu masing-masing.

Namun begitu, menjadi tanggungjawab suami dan ayah mendidik keluarga mereka. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud,

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." 

Selepas itu, jika seorang suami atau ayah telah melakukan yang terbaik bagi mendidik keluarga mereka, tetapi isteri atau anak-anak tidak mendengar kata, maka adilkah seorang ayah atau suami itu diseret ke neraka dan adilkah mereka menanggung dosa isteri dan anak-anak mereka? Tak mungkin begitu kerana Allah itu Maha Adil. Bayangkan, seorang isteri dan anak perempuan yang berakal, melakukan dosa dalam keadaan sedar dan di belakang pengetahuan suami. Tiba-tiba, suami pula yang bertambah dosa. Pelik tu.

Dalam kisah Nabi Lut dan Nabi Nuh, kita dapat lihat kisah tentang isteri  Nabi Lut dan Nabi Nuh? Adakah mereka beriman? Tidak! Ia dijelaskan dalam Quran. Adakah disebabkan mereka kufur, Nabi Lut dan Nabi Nuh yang menanggung dosa mereka? Adakah Nabi Lut dan Nabi Nuh diseret ke neraka? Sudah tentu tidak! Ia menunjukkan bahawa dosa isteri mereka tidak ditanggung oleh mereka.

Saya ingin memetik kata-kata Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam, yang diambil daripada Imam Nawawi Riyadhus Shalihin Jilid 1, Bab 40. Hadis nombor 329, mukasurat 185, Riwayat Muslim, yang bermaksud, 

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: 

"Ketika ayat ini turun iaitu yang ertinya: Dan berilah peringatan kepada kaum keluarga-mu yang dekat-dekat - as-Syu'ara' 214, lalu Rasulullah s.a.w. mengundang kaum Quraisy, kemudian merekapun berkumpullah, undangan itu ada yang secara umum dan ada lagi yang khusus, lalu beliau bersabda: 


"Hai Bani Ka'ab bin Luay, selamatkanlah dirimu semua dari neraka. Hai Bani Murrah bin Ka'ab, selamatkanlah dirimu semua dari neraka. Hai Bani Abdu Syams, selamatkanlah dirimu semua dari neraka. Hai Bani Abdu Manaf, selamatkanlah dirimu semua dari neraka. Hai Bani Hasyim, selamatkanlah dirimu semua dari neraka. Hai Bani Abdul Muththalib, selamatkanlah dirimu semua dari neraka. Hai Fathimah - puteri Rasulullah s.a.w., selamatkanlah dirimu dari neraka, karena sesungguhnya saya tidak dapat memiliki sesuatu untukmu semua dari Allah - maksudnya saya tidak dapat menolak siksa yang akan diberikan oleh Allah padamu, jikalau engkau tidak berusaha menyelamatkan diri sendiri dari neraka. Hanya saja engkau semua itu mempunyai hubungan kekeluargaan belaka - tetapi ini jangan diandal-andalkan untuk dapat selamat di akhirat. Saya akan membasahinya dengan airnya.” "





Jika diperhatikan kata-kata Rasulullah kepada Fatimah. Baginda mengingatkan kepada anak perempuannya bahawa Baginda tidak dapat menolak siksa Allah kepadanya, jikalau dia sendiri tak selamatkan dirinya. Bermakna, dosa masing-masing ditanggung oleh diri masing-masing. 

Walaupun bapa atau suami tidak menanggung dosa isteri dan anak, ia bukanlah satu lesen untuk isteri dan anak melakukan dosa sesuka hati, dengan alasan bahawa Allah tidak memberikan hidayah kepada mereka. Ramai yang tidak mahu berubah menjadi baik, dengan alasan, belum mendapat hidayah sedangkan mereka bukanlah jahil dan tak tahu. Mereka tahu mana yang betul, mana yang salah. Cumanya mereka sendiri yang tidak mahu berubah dan mahu menyalahkan takdir, kononnya tak mendapat hidayah. 
Hidayah terbahagi kepada 2 iaitu Hidayah Taufiq dan Hidayah Bayan. 

Hidayah Taufiq milik Allah sepenuhnya, di mana Allah pilih untuk diberi kepada hambanya, seperti yang diberi kepada Nabi dan Rasul, manakala Hidayah Bayan merupakan hidayah yang diberikan kepada manusia untuk manusia membuat pilihan. Hidayah Bayan itu sama ada  diterima atau ditolak, bergantung kepada kehendak manusia itu sendiri. Menjadi tanggungjawab kita untuk menjadi agen Hidayah Bayan, iaitu menyampaikan yang benar kepada manusia dengan sebaik mungkin. Kemudian, terpulanglah kepada mereka untuk menilai dan memilih hidayah yang berada di depan mata. Untuk penjelasan lanjut tentang Hidayah Taufiq dan Bayan, dijemput membaca e-buku tulisan Hafiz Firdaus Abdullah


Secara amnya, kita sebagai hamba Allah, mestilah berusaha untuk memilih hidayah yang Allah berikan, bukan menolaknya dengan alasan tak sampai seru dan sebagainya.

Penulisan ini juga bukan untuk menghalalkan kemungkaran seorang isteri dan anak perempuan tetapi mahu menegaskan bahawa masing-masing bertanggungjawab untuk menjaga diri masing-masing daripada melakukan dosa, dan jangan ingat sebab dia perempuan, yang tanggung dosa dia ialah bapa atau suami. Ramai pendakwah yang menyampaikan fakta yang salah seolah-olah dosa isteri dan anak perempuan ini mutlak ditanggung oleh suami dan bapa.

Jadi, berbalik kepada topik utama, kepada mereka yang menganggap bahawa suami dan ayah yang menanggung dosa isteri dan anak mereka, sila betulkan fahaman anda. Jangan sesuka hati meletakkan hukum di tangan sendiri kerana panduan kita ialah Quran dan Sunnah, bukan akal kita dan bukan juga kata-kata guru/pendakwah/penceramah/ustaz/tok imam yang tidak mengikut Quran dan Sunnah.

No comments: